Peraturan Keselamatan Elektrik




1. PENDAHULUAN
Keselamatan elektrik asasnya adalah penggunaan logic akal dan pengetahuan tentang asas pemasangan elektrik. Kesedaran akan bahaya-bahaya yang mungkin timbul akibat kecuaian penggunaan elektrik sangat penting untuk mengelakkan kemalangan atau kecederaan yang tidak dikehendaki.


2. TUJUAN
Tujuan utama peraturan keselamatan perlu dilaksanakan ialah :
  • Melindungi nyawa manusia, juga haiwan 
  • Melindungi kecederaan kepada anggota badan manusia 
  • Melindungi bangunan dan harta benda dari kebakaran/kerosakan 
  • Melindungi peralatan dan mesen-mesen elektrik dari kerosakan/kebakaran 
  • Mesen dan peralatan akan tahan lebih lama 
  • Mengurangkan kerugian akibat kebakaran/kerosakan 
  • Menguntungkan majikan dan pekerja 
  • Memberikan keselesaan dan keseronokan ditempat kerja 
  • Memberikan keyakinan semasa bekerja 


3. LANGKAH KESELAMATAN
Langkah-langkah keselamatan berikut boleh digunapakai untuk mana-mana pemasangan elektrik:

a. Mengikut Peraturan Elektrik 1994, hanya orang yang bertauliah dan kompeten (mempunyai sijil kekompetenan Pendawai Elektrik atau Penjaga Jentera Elektrik) boleh mengendali dan mengerjakan pemasangan elektrik. Orang yang selain dari yang diatas hendaklah berada dibawah kawalan langsung orang kompeten.

b. Anggap semua pemasangan elektrik masih hidup (live) kecuali telah dibuktikan dengan ujian ianya adalah mati.

c. Langkah-langkah hendaklah diambil untuk mengelakkan pepasangan yang telah dimatikan menjadi hidup kembali secara tidak senghaja.

d. Gantung notis yang sesuai seperti ‘BAHAYA VOLTAN 415V’, ‘AWAS’, ‘PEPASANGAN SEDANG DIUJI’ pada mana-mana litar yang hendak/sedang dikerjakan.

e. Pastikan setiap suisgiar, papan suis dan sebagainya terdapat label yang menerangkan litar yang dikawalnya supaya kerja pembaikan mudah dan selamat dijalankan serta menghindarkan bahaya.

f. Kunci mana-mana bilik suis atau peralatan elektrik (jika sesuai) dan anak kunci hendaklah dipegang/disimpan oleh orang yang membuat kerja dan pastikan orang lain tidak mempunyai anak kunci simpanan (spare) yang sama.

g. Bahagian bergerak mesen berputar hendaklah dipasang pelindung/penutup yang sesuai dan boleh menghindarkan bahaya tersentuh bahagian tersebut.

h. Sebaik-baiknya hendaklah terdapat sekurang-kurangnya satu lagi pekerja elektrik lain semasa membuat kerja-kerja pada konduktor atau peralatan yang hidup supaya apabila berlaku kecemasan pertolongan boleh diperolehi dengan segera.

i. Jangan memakai barang-barang kemas seperti cincin, jam tangan, kalong, rantai dan sebagainya semasa berkerja dengan litar elektrik hidup.

j. Pakai pakaian keselamatan seperti sarung tangan penebat, kasut keselamatan, penghadang muka (face shield) serta jangan pakai pakaian yang labuh dan terjuntai seperti tali leher yang boleh mengganggu atau membahayakan.

k. Sebelum ON suis ketahuilah akibatnya jika terdapat sebarang kerosakan kepada pemasangan atau mesen tersebut.

l. Fikirkan dahulu apa akan terjadi keatas setiap tindakan yang anda ambil sekiranya tindakan itu tidak betul.

m. Pastikan tangan anda serta persekitaran yang anda akan berkerja tidak basah atau lembab atau dekat dengan punca-punca air.

n. Gunakan hanya pembaris kayu atau tape pengukur bukan logam bila mengukur berhampiran dengan peralatan/pengalir elektrik.

o. Seberapa boleh dan jika praktikal litar yang melebihi voltan 50V AC hendaklah dimatikan sebelum sesuatu kerja elektrik dimulakan.

p. Jangan dengar atau percaya kepada sesiapa yang mengatakan bahawa litar telah dimatikan sebelum anda sendiri mengesahkannya terlebih dahulu dengan mengujinya.

q. Pastikan konduktor elektrik termasuk konduktor mudah lentur dilindungi dari kerosakan mekanikal dengan sempurna, disambung dengan baik, ditamatkan dengan baik, tidak berada dibawah tegangan, tiada kecacatan bahan penebatnya, tidak terdedah kepada gegaran, tidak dibengkokkan dengan keterlaluan sehingga boleh merosakkannya.

r. Pastikan alat tambah elektrik seperti plug top, soket outlet 13A, suis dan sebagainya berada didalam keadaan baik dan selamat. Jangan gunakan alat tambah yang pecah, retak atau keadaannya kurang selamat dan diragukan.

s. Gunakan alat tambah yang diluluskan oleh SIRIM, JBE untuk memastikan ianya bermutu dan selamat digunakan.

t. Pastikan setiap pemasangan mempunyai sistem pembumian yang berkesan kerana ianya sangat penting untuk mengelakkan berlakunya kejutan elektrik dan juga untuk memastikan sistem perlindungan seperti RCCB (Residual Current Circuit Breaker) dapat berfungsi dengan baik.

u. Pastikan peralatan elektrik yang bahagian luarnya diperbuat dari logam yang boleh mengalirkan elektrik disambungkan ke bumi menggunakan wayer bumi.

v. Wayer bumi hendaklah berwarna hijau atau hijau berjalur kuning dan menggunakan saiz yang mencukupi.

w. Jangan mengganggu atau menggagalkan alat-alat perlindungan sedia ada seperti fius, MCB dan sebagainya jika anda kurang faham fungsinya.

x. Jangan menambah peralatan elektrik atau menambah pendawaian jika anda tidak faham bahaya beban lebih atau akibat dari perbuatan anda itu.

y. Alat-alat tertentu seperti kapasitor hendaklah dibuang cas dahulu sebelum membuka atau membuat sambungan kepadanya.

z. Sesetengah mesen terdapat bahagian voltan tinggi didalamnya. Langkah awasan hendaklah diambil perhatian.

aa. Jika berlaku kebakaran peralatan elektrik jangan sekali-kali memadamnya menggunakan air sebab elektrik boleh mengalir melalui air. Gunakan pemadan jenis CO2.

bb. Jika lampu penunjuk tidak menyala jangan terus menganggap tiada bekalan mungkin mentolnya yang telah terbakar tetapi bekalan masih ada.

cc. Jangan sentiasa menganggap konduktor Neutral atau Bumi tiada voltan. Jika berlaku kerosakan atau kesilapan sambungan kedua-duanya mungkin mempunyai voltan yang membahayakan.

dd. Jika anda kurang pasti jangan cuba berbuat sesuatu kepada litar elektrik. Mintalah bantuan orang kompeten.

ee. Pastikan tiada bahan-bahan kimia berbahaya atau mudah terbakar berhampiran papan suis elektrik.

ff. Wayer-wayer yang tidak digunakan jika dipotong dan tidak ditamatkan pada terminal penamatan janganlah dibiarkan terdedah dan hendaklah dibalut dengan tape penebat.

gg. Tanda-tanda ON dan OFF pada suis-suis, pengasing dan pemutus litar hendaklah jelas dan tidak mengelirukan.

hh. Jika sesuatu fius selalu terbakar jangan ditukar dengan kadaran fius yang lebih besar atau ditukar dengan dawai konduktor biasa. Ini akan menimbulkan bahaya. Dapatkan orang kompeten untuk menyiasat punca sebenar masaalah tersebut dan menyelesaikannya.

ii. Jangan GOPOH atau CUAI dalam mengendalikan pemasangan dan mesen-mesen elektrik kerana ia boleh menimbulkan bahaya.

jj. Jangan suka bergurau ketika membuat kerja-kerja pada litar elektrik.

kk. Tentukan semua pendawaian, peralatan, papan suis, alat tambah dan sebagainya diikat kuat kepada dinding, siling, tiang, beam, lantai dan sebagainya, tidak longgar, tergantung atau bergegar.

ll. Pepasangan hendaklah diperiksa agar tiada kesan-kesan terlalu panas, kesan terbakar, percikan api agar kebakaran boleh dihindarkan.

mm. Kesan litar pintas ialah letupan dan letupan boleh mengakibatkan kebakaran, oleh itu senggaraan dan pemeriksaan berjadual sangatlah penting dijalankan oleh orang-orang kompeten secara bersistematik.

nn. Hendaklah berhati-hati bila menggunakan extension cord dengan beberapa bilangan soket outlet. Lebih beban dan sambungan longgar serta kerosakan kabel mudah berlaku sebab ianya tidak dilindungi dari kesan hentakan mekanikal.

oo. Kekotoran dan habuk hendaklah dibersihkan sebab apabila udara lembab ia boleh mengalirkan arus elektrik.


4. SIKAP TERHADAP KESELAMATAN
Sikap yang berikut penting untuk menjamin keselamatan elektrik :

a. Sentiasa berhati-hati apabila mengendalikan mesen/peralatan elektrik

b. Jangan ambil ringan soal keselamatan

c. Jangan tunjuk pandai/handal jika anda tidak mahir dalam bidang elektrik

d. Jangan gopoh

e. Jangan cuai

f. Jangan fikir kemalangan akan berlaku kepada orang lain tetapi tidak berlaku kepada anda

g. Sentiasa waspada dan beranggapan litar elektrik sentiasa hidup

h. Jangan ingkari apa-apa notis keselamatan yang ditampal/digantung ditempat-tempat tertentu

i. Jangan biarkan wayer atau peralatan atau barang bersepah-sepah dan tidak tersusun

j. Sentiasa ujudkan persekitaran kerja yang selamat


5. PERATURAN ELEKTRIK 1994 MENGENAI KESELAMATAN

19(1) Pengaliran tiap-tiap konduktor hendaklah boleh dikesan dan gambar rajah sambungan-sambungan yang dilukis dengan jelas hendaklah dipamerkan berdekatan dengan papan suis itu.

19(2) Alas getah yang saiz dan ketebalannya yang sesuai hendaklah diletakkan diatas lantai dihadapan setiap papan suis untuk mencegah bahaya renjatan elektrik kepada seseorang pengendali.

24(1) Suatu kabel fleksibal bagi radas mudah alih hendaklah disambungkan kepada sistem dengan cantuman kekal atau palam (plug top) dan soket outlet yang dibina dengan sempurna.

24(3) Suatu bahagian logam radas mudah alih yang terdedah hendaklah dibumikan secara berasingan dan mana-mana penutup logam konduktor hendaklah dibumikan.

29. Apabila terdapat mana-mana bahagian sistem atau sesuatu pepasangan tidak digunakan, bahagian itu hendaklah diasingkan daripada punca tenaga dan tidak boleh dibiarkan bertenaga.

32(5) Suis tertutup dan pemutus litar selain daripada suis lampu hendaklah mempunyai tanda kedudukan “ON” dan “OFF” yang ditunjukkan dengan jelas.

32(6) Suis, pemutus litar dan papan fius hendaklah dilabelkan untuk menunjukkan dengan jelas litar yang dikawalnya.

32(7) Penggunaan kabel fleksibel bagi radas mudah alih hendaklah dielakkan dan jika tidak dapat dielakkan kabel yang digunakan itu hendaklah sependek yang mungkin.

38(1) Suatu notis “DILARANG MASUK” hendaklah diletakkan di luar tempat yang mengandungi kelengkapan elektrik jika gangguan tanpa kebenaran pada kelengkapan itu adalah dijangkakan dan jika gangguan sedemikian adalah membahayakan.

110(1) Sesuatu pepasangan elektrik hendaklah disenggarakan dalam keadaan baik dan berfungsi dan langkah-langkah awasan hendaklah dipatuhi pada setiap masa untuk mencegah bahaya.

110(2) Tanggungjawab untuk menyenggara pepasangan terletak pada pemunya atau pengurusan atau penghuni pepasangan, pengkhidmat atau ejennya.

110(3)Mana-mana geganti (relay) dan peranti pelindungan (protection devices) sesuatu pepasangan hendaklah diperiksa, diuji dan ditentuukur oleh orang kompeten sekurang-kurangnya sekali setiap dua tahun.

111(5) Tiada orang kompeten atau orang dibawah kawalan orang kompeten boleh menghidupkan semula mana-mana suis sehingga dia pasti bahawa semua orang sudah tiada pada litar berkenaan dan telah diberi amaran secukupnya bahawa litar itu akan dihidupkan.

111(6) Tiada seorang pun boleh menggagalkan, membuang atau merosakkan sesuatu peranti (device) keselamatan yang dipasang berkaitan dengan atau untuk digunakan dengan mana-mana pepasangan atau kelengkapan.

113. Tiada kerja atau pengendalian dibawah kawalan orang kompeten boleh dimulakan sehingga arahan bertulis telah dikeluarkan oleh orang kompeten itu kepada orang dibawah kawalannya.


6. PERATURAN KESELAMATAN PENGENDALIAN MESIN BERMOTOR

a. Pastikan semua mesen bermotor termasuk alat hawa dingin mempunyai pemula (starter) yang terdiri dari pengasing (Isolator) dan no volt release supaya bekalan ke mesen boleh disambung dan diputuskan bila diperlukan untuk tujuan senggaraan dan kawalan. Ia juga untuk memastikan mesen tidak berputar secara tidak disedari setelah bekalan disambungkan. Mesen yang berputar secara tidak disedari atau secara tiba-tiba boleh mendatangkan bahaya.

b. Satu pemula hendaklah mengawal satu mesen sahaja.

c. Pengasing tidak boleh dibuka kecuali didalam keadaan OFF sahaja. Ini untuk memastikan bekalan sudah dimatikan sebelum boleh membuka pengasing demi menghindarkan bahaya.

d. Butang henti (EMERGENCY STOP button) yang berhampiran dan boleh dicapai dengan tangan hendaklah disediakan berhampiran dengan mesen agar operator mesen boleh memberhentikan mesen jika berlaku sesuatu kecemasan.

e. Tentukan persekitaran mesen adalah selamat dan tiada halangan-halangan yang boleh mengganggu keselamatan.

f. Pastikan pengudaraan mesen adalah tidak tersekat oleh kotoran, halangan-halangan dan sebagainya.


Kindly Bookmark and Share it:

2 comments:

  1. nak tanya ni? kalau kat bangunan ada tak langkah-langkah keselamatan yang disediakan yang mcam yang telah disediakan kat rumah?

    ReplyDelete
  2. Selepas kerja pembangunan siap haruslah mengemas rapi barang konkrit dan sebagainya supaya rapi

    ReplyDelete